Tuesday, August 18, 2009

marhaban ya ramadhan..




Ku mengharapkan Ramadhan
Kali ini penuh makna
Agar dapat kulalui
Dengan sempurna

Selangkah demi selangkah
Setahun sudah pun berlalu
Masa yang pantas berlalu
Hingga tak terasa ku berada
Di bulan Ramadhan semula

Puasa satu amalan
Sebagaimana yang diperintahNya
Moga dapat ku lenturkan
Nafsu yang selalu membelenggu diri
Tiada henti-henti

Tak ingin ku biarkan Ramadhan berlalu saja
Tuhan pimpinlah daku yang lemah
Mengharungi segalanya dengan sabar
Kita memohon pada Tuhan diberikan kekuatan
Ku merayu pada Tuhan diterima amalan

Selangkah demi selangkah...
Dengan rahmatMu oh Tuhanku...
Ku tempuh jua

Monday, August 17, 2009

ukhwah bersulam cinta


Istilah ukhwah bukanlah suatu yang asing bagi mereka yang biasa di medan Islami, suatu perkataan yang cukup sinonim dalam tarbiyah dan dakwah. Satu perkataan yang mudah untuk didefinisikan dan dibicarakan namun secara praktikalnya bukanlah suatu yang seindah bagai dikata.

Lihat sahajalah sahabat Nabi iaitu golongan Ansar yg telah RasuluLLAH saudarakan antara dua kaum iaitu Aus dan Khazraj, pabila dihasut oleh seorang Yahudi yang dengki melihat ukhwah yang terjalin antara kaum Aus dan Khazraj. Demikian si Yahudi mengimbau kembali peperangan yang pernah terjadi antara mereka sebelum Islam hadir dalam jiwa-jiwa mereka. Lantas bangkitlah kembali semangat permusuhan dan kata-kata jahiliah sesama mereka, senjata-senjata juga telah mula diangkat seakan-akan bakal terjadi pertumpahan darah. Maka bergegaslah Rasul ke arah mereka dan mengucapkan lebih kurang maksudnya, Pantaskah kamu berbunuh-bunuhan sedangkan aku masih berada di kalangan kamu. Semaklah ayat al-Quran menceritakan serta menegur akan kesalahan yang dibuat oleh golongan Ansar tadi dalam surah Ali ‘Imran


Hai orang-orang yang beriman, jika kamu mengikuti sebahagian dari orang-orang yang diberi Al Kitab, niscaya mereka akan mengembalikan kamu menjadi orang kafir sesudah kamu beriman. [3 : 100]

Bagaimanakah kamu (sampai) menjadi kafir, padahal ayat-ayat Allah dibacakan kepada kamu, dan Rasul-Nya pun berada di tengah-tengah kamu? Barangsiapa yang berpegang teguh kepada (agama) Allah, maka sesungguhnya ia telah diberi petunjuk kepada jalan yang lurus. [3:101]


Demikian Rasul masih di kalangan para sahabat, demikian tarbiyah Rasul masih berjalan, demikian peristiwa hijrah membuktikan ukhwah mereka begitu hebat, namun di saat mereka diuji oleh sebahagian Ahli Kitab yang dengki melihat ukhwah yang luar biasa ini, hampir-hampir sahaja ukhwah yang dibina terkubur dengan pertumpahan darah.

Nah, para sahabat sahaja hampir terputus ukhwah yang telah ditarbiyah oleh seorang insan yang cukup dekat dengan Tuhan-Nya, apatah lagi kita yang tidak pernah bertemu dengan Nabi yang kita cintai, maka menerapkan nilai ukhwah sesama kita lebih sukar untuk direalisasikan andai kita tidak memupuk nilai-nilai yang sebaiknya untuk membuahkan rasa ukhwah sesama kita.

Namun tidaklah Nabi membiarkan umatnya mengeluh berputus asa hanya kerana mereka yang tidak sempat ditarbiyah oleh tangan Nabi sendiri merasakan selama-lamanya tidak akan berjaya memupuk nilai ukhwah sesama mereka. Tidak, kerana Nabi menunjukan contoh-contoh yang praktikal, sesuai untuk di buat walau di mana atau di zaman mana kita berada. Rasul mengajarkan ukhwah kepada para sahabatnya dengan CINTA.


Dari Abu Hamzah, Anas bin Malik r.a, khadam kepada RasuluLLAH S.A.W., bersabda Nabi S.A.W. : Tiada beriman seseorang di antara kamu, sehingga ia mencintai saudaranya sama seperti ia menyintai dirinya sendiri [Riwayat Bukhari dan Muslim]

Bagaimana persoalan keimanan ditentukan dengan nilai kecintaan pada saudara seIslam kita, bukankah Nabi ingin mengajar kita bahawa nilai ukhwah itu menjadi tanda keimanan kita. Namun adakah kita benar-benar menyintai saudara kita, andai ditanya pernahkan kita bercinta, pasti pelbagai definisi cinta boleh kita huraikan kerana cinta itu lumrah kehidupan, yang membezakannya siapakah yang kita cintai dan kerana apakah kita mencintai.

Kebiasaannya dalam kehidupan, kita mendengar perkataan “Aku cinta padamu”, “I love you” dan sewaktu dengannya diucapkan oleh seorang lelaki pada seorang wanita atau sebaliknya walaupun belum mempunyai apa-apa ikatan. Pastinya ucapan itu membuat hati berbunga-bunga, senyum sampai ke telinga dan bermacam-macam lagi gaya yang dibuat kerana terngiang-ngiang ucapan yang diberi.

Namun apa perasaan kita andai ada seorang lelaki mengucapkan kepada lelaki lain ucapan yang sama, begitu juga seorang perempuan mengucapkan ucapan yang sama kepada perempuan lain. Boleh jadi ada yang menuduh kawannya gay ataupun lesbian jika ditafsirkan secara mudah kerana ia bukan suatu ucapan yang biasa diucapkan kepada sesama jantina. Namun Islam mengajarkan perkataan cinta itu cukup luas, bukan menyempitkan penggunaannya untuk tujuan yang menaikkan nafsu semata.

Kata cinta itu bertema ukhwah dan ada sandaran hadis tentang diharuskan mengucapkan kata cinta pada saudara kita. Hadis riwayat Abu Daud dengan isnad yang sahih dan al-albani juga mensahihkannya, dgn lafaz yang lebih kurang maksudnya.

“Anas bin Malik r.a berkata: Seorang lelaki sedang bersama Nabi S.A.W, bila seorang lelaki lain melewati mereka dan lelaki yang bersama Nabi berkata “Ya RasuluLLAH!, Sesungguhnya aku mencintai lelaki tadi.” Nabi bertanya, “Adakah kamu sudah memberitahunya?” Dia menjawab, “Tidak”. Kemudian Nabi bersabda, “ Khabarkan padanya”(yang kamu mencintainya). Jadi lelaki itu pergi kepada lelaki tadi dan berkata padanya, “Aku cinta kamu kerana ALLAH,” dan lelaki itu menjawab, “Semoga ALLAH yang kerana-Nya kamu mencintaiku akan menyintai kamu”


Inilah nilai ukhwah bersulam cinta yg Rasul terapkan pada generasi yg terbaik dan unik. Ukhwah mereka bukan sekadar mengucapkan lewat kata-kata bahkan mereka yg lebih dahulu menunjukkan contoh.

Ada beberapa lagi contoh mudah dalam memupuk rasa ukhwah kita bersama, antaranya hadis dalam riwayat Imam Muslim yang lebih kurang maksudnya.


“Hak seorang Muslim pada muslim yang lain ada enam, iaitu apabila bertemu berikan salam, apabila berpisah maka cari tahulah, apabila diundang maka penuhilah undangannya, apabila sakit maka ziarahlah, apabila bersin dan mengucapkan hamdalah maka jawablah, apabila meninggal dunia maka hantarkanlah ke pemakamannya.”

“Janganlah engkau meremehkan sedikit jua daripada perbuatan baik, sekali pun sekadar engkau menampakkan wajah yang manis kepada saudara engkau.” [Shahih Muslim]

Nah, semudah itu cara berukhwah yang nabi ajarkan, tetapi hasilnya berbeza walau caranya sama, boleh jadi kita harus muhasabah kembali dengan kesungguhan dan keikhlasan kita menimbulkan rasa cinta dalam berukhwah.

Ada satu lagi istilah dalam berukhwah yang boleh kita renungkan iaitu Akhillaa’, sila semak surah zukhruf, 43 ayat 67

﴿الاٌّخِلاَءُ يَوْمَئِذٍ بَعْضُهُمْ لِبَعْضٍ عَدُوٌّ إِلاَّ الْمُتَّقِينَ ﴾
“Teman-teman akrab pada hari itu sebagiannya menjadi musuh bagi sebagian yang lain kecuali orang-orang yang bertakwa.”

Mengikut tafsir Ibnu Kathir, persahabatan pada Hari Pembalasan nanti akan lenyap kecuali yang ada nilai Taqwa, maknanya semua persahabatan yang bukan kerana ALLAH di hari pengadilan nanti akan menjadi musuh sesama mereka kecuali yang bersahabat kerana ALLAH semata.

Bak kata Abu Saif, Akhillaa’ bukan ahibba’, bukan sekadar orang yang kasih mengasihi seperti dua insan bercinta, tetapi kasih sayang yang terbit seiring dengan pengorbanan. Pengorbanan di medan perjuangan, Akhillaa’ adalah gelaran untuk kekasih-kekasih yang bercinta di dalam perjuangan. Perjuangan pula terbit dari kepekaan, kesedaran dan keprihatinan. Agar selepas berkasih sayang di dunia perjuangan, kita terus berkasih sayang di Akhirat negeri pembalasan 

Beginilah nilai ukhwah yang Rasul dan sahabatnya telah contohkan, mereka berukhwah dengan cinta semasa mereka hidup dan mereka juga pasti terus berukhwah di syurga kelak kerana nilai ukhwah bersulam cinta dan taqwa yang mereka tanamkan dalam jiwa dan kehidupan mereka.

Kita berdoa agar persahabatan yang terjalin tidak hanya berhenti sekadar di muka bumi namun persahabatan itu terus mekar di ‘Sana’ nanti. Ameen

p/s;kesemua gambar adalah hiasan semata-mata...

Tuesday, August 4, 2009

Al-Quran Membentuk Akhlak Mulia.

AL-quran Adalah Kitab Allah

Al Quran adalah "kalam Allah" yang diturunkan kepada Nabi Muhammad S.A.W secara beransur-ansur bersifat mukjizat dan membacanya merupakan satu ibadah. Oleh kerana Al-Quran bersumberkan wahyu daripada Allah S.W.T maka kandun- gannya menyeluruh dan menepati seluruh aspek-aspek kehidupan manusia yang meliputi semua tempat dan zaman.
Al-Quran bukan sekadar membicarakan persoalan akidah, ibadat, dan akhlak masyarakat, malah Al-Quran terus menjadi bahan kajian para sarjana dan professional dalam pelbagai bidang seperti pendidikan, ekonomi, sains, teknologi dan sebagainya.

Al-Quran membentuk Akhlak Mulia

Al-Quran merupakan wahyu daripada Allah S.W.T yang mengandungi petunjuk, pembimbing dan pembeza antara yang hak dan yang batil. Bagi memperbaiki akhlak manusia,Allah telah menurunkan Al-Quran kepada Nabi Muhammad S.A.W dengan misi utamanya membangunkan akhlak manusia agar dapat keredhaan Allah S.W.T.
Kesejagatan fungsi Al-Quran menjadi pencetus akhlak terpuji, bukan sahaja kepada masyarakat Islam, malah untuk umat semua umat manusia. Akhlak mulia yang disarankan oleh Al-Quran adalah seperti berilmu, beriman, bertakwa, beramal soleh dan sebagainya.
Mentaati Allah dan Rasul-Nya.

Sebagai seorang hamba, perkara pokok yang menjadi asas kepada kita semua adalah mentaati perintah Allah dan Rasul-Nya.
" Seorang mukmin yang baik, lelaki atau perempuan, tidak akan membantah apa yang telah diperintahkan oleh Allah dan Rasul – Nya, dan orang yang mengingkari Allah dan Rasul sesungguhnya dia adalah orang yang sesat. "
( Al-Ahzab : 36 )


Beribadat kepada Allah.

Ibadat
dapat membentuk akhlak mulia. Melalui ibadat, tingkahlaku kita akan sentiasa terkawal dan dijaga daripada melakukan maksiat atau kemungkaran.
" Dirikanlah solat, sesungguhnya solat mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar "
( Al-Ankabut : 45 )
Kita hidup kerana Allah, bekerja kerana Allah dan mati pun kerana Allah juga. Semuanya menjadi ibadat jika dilakukan kerana Allah S.W.T . Firman Allah S.W.T. yang bermaksud :
" Katakanlah wahai Muhammad; Sesungguhnya sembahyangku dan ibadatku, hidup dan matiku hanyalah untuk Allah, Tuhan yang memelihara dan mentadbir sekelian alam."
( Al-An’am : 162 )


Berbuat Baik Kepada Ibu Bapa.

Tiada siapa yang boleh menafikan jasa dan pengorbanan ibu bapa sungguh besar ertinya. Tanpa usaha mereka siapalah kita sekarang. Ibu bapalah yang bertungkus-lumus mendidik dan mengasuh kita sejak kecil lagi. Merekalah yang turut mencorakkan kebahagiaan dan keselesaan hidup kita sekarang. Oleh itu, sebagai membalas jasanya, kita mestilah taat dan menghormati mereka seperti mana yang telah Allah perintahkan di dalam Al-Quran yang bermaksud :
Hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa. Jika salah seorang daripada keduanya atau kedua-duanya sekali mencapai umur tua, janganlah engkau berkata kasar terhadapnya, sekalipun perkataan " Ah " dan jangan menengking mereka, tetapi bercakaplah dengan perkataan yang baik dan lemah lembut "
( Al-Isra : 23-24 )


Mensyukuri Nikmat Allah

Orang yang bersyukur adalah manusia yang bertuah kerana Allah akan menam-bahkan nikmat kepadanya selama mana ia mensyukuri segala pemberian yang diperolehinya. Manakala orang yang tamak adalah orang yang rugi kerana mereka tidak dapat merasakan nikmat sebenar daripada pemberian Allah S.W.T.
Sebagai manusia yang telah banyak menerima anugerah Allah, Kita sepatutnya selalu bersyukur kepada Allah. Dan sebagai tanda menghargainya, kita hendaklah menjadi insan yang lebih bertakwa dan beramal soleh.
" Dan ingatlah ketika Tuhanmu memberitahu : Demi sesungguhnya jika kamu bersyukur, nescaya Aku akan tambah nikmatKu kepada kamu, dan sesungguhnya jika kamu kufur ( ingkar ) sesungguhnya azabKu amatlah pedih. "
( Ibrahim : 7 )


Jangan Mencemuh Atau Merendah-rendahkan Orang Lain

Semua orang mahu dirinya dihormati. Semua orang suka dipuji dan tidak mahu dicaci. Oleh itu kita perlu menghormati orang lain terlebih dahulu jika ingin orang lain menghormati kita. Jika kita mahu dihormati, Kita hendaklah berkelakuan baik, mengawal tingkahlaku daripada perbuatan yang tidak elok.Lakukanlah kerja yang lebih berfaedah untuk menghasilkan sesuatu yang lebih bermanfaat.
" Wahai orang-orang yang beriman ! Janganlah sesuatu puak di kalangan kamu ( lelaki dan perempuan ) mencemuh dan merendah-rendahkan puak yang lain, kerana boleh jadi puak yang dicemuh itu lebih baik daripada yang mencemuh ; dan janganlah kamu menyatakan keaiban orang lain dan jangan pula kamu panggil-memanggil dengan gelaran yang buruk…"
( Al-Hujurat : 11 )


Jangan Memboros Atau Membazir

Pengguna berhemah adalah pengguna yang bijak. Kita berbelanja hendaklah berdasarkan keperluan, mengikut kemampuan dan tidak keterlaluan. Orang yang berbelanja melebihi keperluan adalah orang yang dimurkai Allah.
"… Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedangkan syaitan itu adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya."
( Al-Isra’ : 26-27 )


Bersangka Baik.

Kita hendaklah bersangka baik terhadap orang lain dalam setiap atau semua perkara. Inilah yang dikatakan ‘positive thinking’ . Allah melarang kita bersangka buruk kerana prasangka adalah sejenis penyakit psikologi yang amat sukar diubati.
"Wahai orang-orang yang beriman jauhilah kebanyakan prasangka kerana sesungguhnya sebahagian prasangka itu adalah dosa dan janganlah pula mencari-cari kesalahan orang lain…"
( Al-Hujurat : 12 )


Sabar Menghadapi Ujian.

Sifat sabar memberi daya tahan kepada manusia yang pro-aktif. Manusia yang sabar tidak akan berputus asa walaupun menempuh ujian yang getir daripada Allah S.W.T. Sabar sepatutnya dijadikan perisai oleh generasi sekarang untuk mengharungi cabaran dunia moden. Manusia yang sabar dan lebih berdaya saing akan cepat matang berbanding orang lain.
Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu ( ketika menghadapi kesukaran dalam mengerjakan kebajikan ) dan kuatkanlah kesabaran kamu…"
( Ali-Imran : 200 )
Dalam era pembangunan masa kini, umat Islam amat perlu menjadikan nilai-nilai murni sebagai wadah keluhuran akhlak. Jika akhlak sudah mula sebati dengan jiwa masyarakat, penyakit sosial seperti yang berlaku pada hari ini dapat dihindarkan. Oleh itu jadikanlah Al-Quran sebagai pedoman agar hidup kita bahagia di dunia dan


post by;umar khalil(APIUM)
 
Design By iEn © 2008 - 2010 | Best Resolution: 1024x768 Pixels | Best View With Firefox | Back To Top