Monday, October 12, 2009

Langkah Syaitan Menelanjangi Wanita

Syaitan dalam menggoda manusia memiliki berbagai cara strategi, dan yang sering dipakai adalah dengan memanfaatkan hawa nafsu, yang memang memiliki kecenderungan mengajak kepada keburukan (ammaratun bis su'). Syaitan seakan mengetahui kecenderungan nafsu kita, dia terus berusaha agar manusia keluar dari garis yang telah ditentukan Allah, termasuk melepaskan hijab atau pakaian muslimah.

Berikut adalah cara bertahap:

Menghilangkan Definisi Hijab

Dalam tahap ini syaitan membisikkan kepada para wanita, bahawa pakaian apapun termasuk hijab (penutup) itu tidak ada kaitannya dengan agama, ia hanya sekadar pakaian atau gaya hiasan bagi para wanita. Jadi tidak ada pakaian syar'i, pakaian, dengan apa pun bentuk dan namanya tetap pakaian.

Sehingga akibatnya, ketika zaman telah berubah, atau kebudayaan manusia telah berganti, maka tidak ada masalah pakaian ikut ganti juga. Demikian pula ketika seseorang berpindah dari suatu negeri ke negeri yang lain, maka harus menyesuaikan diri dengan pakaian penduduknya, apapun yang mereka pakai. Berbeza halnya jika seorang wanita berkeyakinan, bahawa hijab adalah pakaian syar'i (identiti keislaman), dan memakainya adalah ibadah bukan sekadar gaya ( fesyen ). Biarpun hidup bila saja dan di mana saja, maka hijab syar'i tetap dipertahankan.

Apabila seorang wanita masih bertahan dengan prinsip hijabnya, maka syaitan beralih dengan strategi yang lebih halus. Caranya?

Pertama, Membuka Bahagian Tangan Telapak tangan

Mungkin sudah kebiasaannya terbuka, maka syaitan membisikkan kepada para wanita agar ada sedikit peningkatan model yakni membuka bahagian hasta (siku hingga telapak tangan). "Ah tidak apa-apa, kan masih pakai jilbab dan pakai baju panjang? Begitu bisikan syaitan. Dan benar si wanita akhirnya memakai pakaian model baru yang menampakkan tangannya, dan ternyata para lelaki melihatnya juga seperti biasa saja. Maka syaitan berbisik," Tu.. tidak apa-apa kan?

Kedua, Membuka Leher dan Dada



Setelah menampakkan tangan menjadi kebiasaan, maka datanglah syaitan untuk membisikkan perkara baru lagi. "Kini buka tangan sudah menjadi lumrah, maka perlu ada peningkatan model pakaian yang lebih maju lagi, yakni terbuka bahagian atas dada kamu." Tapi jangan sebut sebagai pakaian terbuka, hanya sekadar sedikit untuk mendapatkan hawa, agar tidak panas. Cubalah! Orang pasti tidak akan peduli, sebab hanya sebahagian kecil sahaja yang terbuka.

Maka dipakailah pakaian fesyen terbaru yang terbuka bahagian leher dan dadanya dari yang fesyen setengah lingkaran hingga yang fesyen bentuk huruf "V" yang tentu menjadikan lebih terlihat lagi bahagian sensitif lagi dari dadanya.

Ketiga, Berpakaian Tapi Telanjang



Syaitan berbisik lagi, "Pakaian mu hanya gitu-gitu saja, yak "cool" cari fesyen atau bahan lain yang lebih bagus! Tapi apa ya? Si wanita berfikir. "Banyak fesyen dan kain yang agak tipis, lalu bentuknya dibuat yang agak ketat biar lebih sedap/cantik dipandang," syaitan memberi idea baru.

Maka tergodalah si wanita, di carilah fesyen pakaian yang ketat dan kain yang tipis bahkan transparent. "Mungkin tak ada masalah, kan potongan pakaiannya masih panjang, hanya bahan dan fesyennya saja yang agak berbeza, biar nampak lebih feminin," begitu dia menokok-nambah. Walhasil pakaian tersebut akhirnya membudaya di kalangan wanita muslimah, makin hari makin bertambah ketat dan transparent, maka jadilah mereka wanita yang disebut oleh Nabi sebagai wanita kasiyat 'ariyat (berpakaian tetapi telanjang).

Keempat, Agak di Buka Sedikit

Setelah para wanita muslimah mengenakan pakaian yang ketat, maka syaitan datang lagi. Dan sebagaimana biasanya dia menawarkan idea baru yang sepertinya "cool" dan "vogue", yakni dibisiki wanita itu, "Pakaian seperti ini membuat susah berjalan atau duduk, soalnya sempit, apa tak sebaiknya di belah hingga lutut atau mendekati paha?" Dengan itu kamu akan lebih selesa, lebih kelihatan lincah dan energik." Lalu dicubalah idea baru itu, dan memang benar dengan dibelah mulai dari bahagian bawah hingga lutut atau mendekati paha ternyata membuat lebih selesa dan leluasa, terutama ketika akan duduk atau naik kenderaan. "Yah.... tersingkap sedikit tak apa-apa lah, yang penting enjoy," katanya.

Inilah tahapan awal syaitan merosak kaum wanita, hingga tahap ini pakaian masih tetap utuh dan panjang, hanya fesyen, corak, potongan dan bahan saja yang dibuat berbeza dengan hijab syar'i yang sebenarnya. Maka kini mulailah syaitan pada tahap berikutnya.

II. Terbuka Sedikit Demi Sedikit



Kini syaitan melangkah lagi, dengan tipu daya lain yang lebih "power", tujuannya agar para wanita menampakkan bahagian aurat tubuhnya.

Pertama, Membuka Telapak Kaki dan Tumit
Syaitan Berbisik kepada para wanita, "Baju panjang benar-benar tidak selesa, kalau hanya dengan membelah sedikit bahagiannya masih kurang leluasa, lebih elok kalau dipotong sahaja hingga atas mata kaki." Ini baru agak longgar. "Oh...... ada yang yang terlupa, kalau kamu pakai baju sedemikian, maka jilbab yang besar tidak sepadan lagi, sekarang kamu cari jilbab yang kecil agar lebih serasi dan sepadan, ala....... orang tetap menamakannya dengan jilbab."

Maka para wanita yang terpengaruh dengan bisikan ini terburu-buru mencari fesyen pakaian yang dimaksudkan. Tak ketinggalan kasut tumit tinggi, yang kalau untuk berjalan, dapat menarik perhatian orang.

Kedua, Membuka Seperempat Hingga Separuh Betis



Terbuka telapak kaki telah biasa ia lakukan, dan ternyata orang yang melihat juga tidak begitu ambil peduli. Maka syaitan kembali berbisik, "Ternyata kebanyakan manusia menyukai apa yang kamu lakukan, buktinya mereka tidak ada reaksi apa-apa, kecuali hanya beberapa orang. Kalau langkah kakimu masih kurang leluasa, maka cubalah kamu cari fesyen lain yang lebih menarik, bukankah kini banyak skirt separuh betis dijual di pasaran? Tidak usah terlalu terdedah, hanya terlihat kira-kira sepuluh centimetre saja." Nanti kalau sudah biasa, baru kamu cari fesyen baru yang terbuka hingga separuh betis."

Benar-benar bisikan syaitan dan hawa nafsu telah menjadi penasihat peribadinya, sehingga apa yang saja yang dibisikkan syaitan dalam jiwanya dia turutkan. Maka terbiasalah dia memakai pakaian yang terlihat separuh betisnya kemana saja dia pergi.

Ketiga, Terbuka Seluruh Betis

Kini di mata si wanita, zaman benar-benar telah berubah, syaitan telah berhasil membalikkan pandangan jernihnya. Terkadang si wanita berfikir, apakah ini tidak menyelisihi para wanita di masa Nabi dahulu. Namun bisikan syaitan dan hawa nafsu menyahut, "Ah jelas tidak, kan sekarang zaman sudah berubah, kalau zaman dulu para lelaki mengangkat pakaiannya hingga setengah betis, maka wanitanya harus menyelisihi dengan menjulurkannya hingga menutup telapak kaki, tapi kini lain, sekarang banyak lelaki yang menurunkan pakaiannya hingga bawah mata kaki, maka wanitanya harus menyelisihi mereka iaitu dengan mengangkatnya hingga setengah betis atau kalau perlu lebih ke atas lagi, sehingga nampak seluruh betisnya."

Tetapi? apakah itu tidak menjadi fitnah bagi kaum lelaki," bersungut. "Fitnah? Ah...... itu kan zaman dulu, di masa itu kaum lelaki tidak suka kalau wanita menampakkan auratnya, sehingga wanita-wanita mereka lebih banyak di rumah dan pakaian mereka sangat tertutup. Tapi sekarang sudah berbeza, kini kaum lelaki kalau melihat bahagian tubuh wanita yang terbuka, malah senang dan mengatakan ooh atau wow, bukankah ini bererti sudah tidak ada lagi fitnah, kerana sama-sama suka? Lihat saja fesyen pakaian di sana-sini, dari yang di pasar malam hingga yang berjenama di pusat membeli belah, semuanya memperagakan fesyen yang dirancang khusus untuk wanita maju di zaman ini. Kalau kamu tidak mengikutinya, akan menjadi wanita yang ketinggalan zaman."

Demikianlah, maka pakaian yang menampakkan seluruh betis akhirnya menjadi kebiasaan, apalagi ramai yang memakainya dan sedikit sekali orang yang mempersoalkannya. Kini tibalah saatnya syaitan melancarkan tahap terakhir dari tipu dayannya untuk melucuti hijab wanita.

III. Serba Mini

Setelah pakaian yang menampakkan betis menjadi pakaian sehari-harian dan dirasa biasa-biasa saja, maka datanglah bisikan syaitan yang lain. "Pakaian memerlukan variasi, jangan yang itu-itu saja, sekarang ini fesyen skirt mini, dan agar sepadan, rambut kepala harus terbuka, sehingga benar-benar kelihatan indah."

Maka akhirnya skirt mini yang menampakkan bahagian bawah paha dia pakai, bajunya pun bervariasi, ada yang terbuka hingga lengan tangan, terbuka bahagian dada sekaligus bahagian punggungnya dan berbagai fesyen lain yang serba pendek dan mini. Koleksi pakaiannya sangat beraneka ragam, ada pakaian untuk berpesta, bersosial, pakaian kerja, pakaian resmi, pakaian malam, petang, musim panas, musim sejuk dan lain-lain, tak ketinggalan seluar pendek separuh paha pun dia miliki, fesyen dan warna rambut juga ikut bervariasi, semuanya telah dicuba. Begitulah sesuatu yang sepertinya mustahil untuk dilakukan, ternyata kalau sudah dihiasi oleh syaitan, maka segalanya menjadi serba mungkin dan diterima oleh manusia.

Hingga suatu ketika, muncul idea untuk mandi di kolam renang terbuka atau mandi di pantai, di mana semua wanitanya sama, hanya dua bahagian paling ketara saja yang tersisa untuk ditutupi, kemaluan dan buah dada. Mereka semua mengenakan pakaian yang sering disebut dengan "bikini". Kerana semuanya begitu, maka harus ikut begitu, dan na'udzubillah bisikan syaitan berhasil, tujuannya tercapai, "Menelanjangi Kaum Wanita."

Selanjutnya terserah kamu wahai wanita, kalian semua sama, telanjang di hadapan lelaki lain, di tempat umum. Aku berlepas diri kalau nanti kelak kalian sama-sama di neraka. Aku hanya menunjukkan jalan, engkau sendiri yang melakukan itu semua, maka tanggung sendiri semua dosamu" Syaitan tak ingin ambil risiko.

Penutup

Demikian halus, cara yang digunakan syaitan, sehingga manusia terjerumus dalam dosa tanpa terasa. Maka hendaklah kita semua, terutama orang tua jika melihat gejala menyimpang pada anak-anak gadis dan para wanita kita sekecil apapun, segera secepatnya diambil tindakan. Jangan biarkan berlarut-larutan, kerana kalau dibiarkan dan telah menjadi kebiasaan, maka sakan menjadi sukar bagi kita untuk mengatasinya. Membiarkan mereka membuka aurat bererti merelakan mereka mendapatkan laknat Allah, kasihanilah mereka, selamatkan para wanita muslimah, jangan jerumuskan mereka kedalam kebinasaan yang menyengsarakan, baik di dunia mahupun di akhirat.

Wallahu a'lam bisshawab.

Friday, October 9, 2009

Rencana Ulang tahun perang Oktober (Perang Ramadhan) 1973

(Beberapa noktah penting dan pengajaran)


Bulan ini genaplah ulang tahun Perang Oktober 1973 yang ke 36. Peperangan yang bermula pada 6 hingga 24 Oktober ini mempunyai implikasi yang sangat besar. Perang yang juga dikenali sebagai perang Ramadhan kerana bermula pada 10 Ramadhan dan Perang Yom Kippur kerana jatuh pada hari kebesaran orang Yahudi ini telah merubah lanskap politik timur tengah seperti hari ini.



Peperangan ini adalah sebahagian dari usaha Mesir dan Syria untuk merebut kembali wilayah mereka yang dijajah oleh Israel dalam Perang enam hari pada tahun 1967 iaitu Semenanjung Sinai dan Tanah Tinggi Golan. Perang 6 hari juga menyebabkan Jalur Gaza, Baitul Makdis timur dan Tebing Barat di kuasai oleh Israel sepenuhnya. Mengambil peluang dari Hari kebesaran orang Yahudi iaitu Yom Kippur, di mana sebahagian besar tentera Israel sedang bercuti, Mesir telah mengatur serangan mengejut. Keupayaan tentera Mesir untuk menembusi garisan Barlev yang dianggap kebal oleh pertahanan Israel benar-benar menjadi kejutan. Di masa yang sama tentera Syria megambil semula sebahagian dari Tanah tinggi Golan yang dikuasai Israel. Kejayaan tentera Mesir dan Syria tidak kekal lama kerana mereka terpaksa berundur ekoran serangan balas oleh Israel. Bahkan ketumbukan tentera ke tiga Mesir terkepung sepenuhnya dan bakal menghadapi kemusnahan. Israel juga mengalami kemusnahan yang besar dengan hampir 3,000 tenteranya terbunuh dan 9,000 mengalami kecederaan. Buat pertama kalinya di dalam sejarah Israel menerima hakikat bahawa ia sedang menghadapi satu peperangan yang sebenar, sedangkan konflik yang berlaku dengan negara-negara Arab sebelumnya hanyalah sebuah pertempuran. Di samping itu hampir 500 kereta kebal dan 200 pesawat udara tentera Israel berjaya dimusnahkan oleh tentera Mesir dan Syria. Mesir dan Syria menerima kemusnahan yang jauh lebih besar, namun kejayaan pada peringkat awal peperangan memberi satu suntikan kepada seluruh dunia Arab dan negara Islam terhadap kemampuan berhadapan dengan regim Zionis di medan peperangan.



Amerika Syarikat telah bersetuju sepenuhnya di dalam Majlis Keselamatan Bangsa-Bangsa Bersatu supaya resolusi 338 dilaksanakan iaitu gencatan senjata di antara kedua pihak. Ini adalah suatu yang jarang berlaku kerana Amerika telah terbukti sepanjang konflik timur tengah tidak akan memihak kepada keputusan Majlis Keselamatan atau Persidangan Agung PBB jika ia dilihat merugikan Israel. Bahkan acapkali AS akan menggunakan kuasa vetonya untuk membatalkan mana-mana resolusi yang diputuskan jika dianggap tidak memenuhi kepentingan strategik Israel. Dalam Perang Oktober 1973, AS mengambil pendirian yang sebaliknya. Ini ada berdasarkan kepada congakan bahawa Israel mungkin mengalami kekalahan dan terpaksa membuat beberapa konsesi yang menjejas kelangsungan negara zionis tersebut. Gencatan senjata ini bagaimanapun dicabuli oleh Israel yang terus mara sehingga ke Terusan Suez. Ini memaksa Majlis Keselamatan bersidang sehari selepas Resolusi 338 diluluskan. Resolusi 339 diluluskan untuk menguatkuasakan Resolusi 338. Motif sebenar Amerika terbongkar apabila pada 18 Oktober Presiden Nixon meluluskan peruntukan senjata tambahan kepada Israel disamping bantuan kewangan sebanyak USD 2.2 bilion. Keadaan ini telah menyebabkan Arab Saudi melakukan reaksi balas dengan mengurangkan pengeluaran petroluem sebanyak 5% sebulan kepada AS. Embargo ini kemudiannya di lanjutkan ke atas Netherland dan negara-negara lain mencetuskan krisis tenaga pada tahun 1973 yang menyaksikan ekonomi Amerika terjejas teruk. Ini adalah satu contoh bahawa negara-negara Arab mampu untuk menggunakan kuasa petrodollar untuk mencabar hegemoni politik AS di timur tengah.



Di masa yang sama AS telah menggunakan sitiasi perang Oktober untuk menghapuskan ancaman Mesir ke atas Israel. Oleh kerana objektif Mesir ialah untuk mendapatkan semula Semenanjung Sinai yang dikuasai oleh Israel, AS telah menjadikan ia sebagai umpan supaya Mesir bersetuju untuk berdamai dengan Israel. Presiden Sadat telah menyatakan persetujuannya untuk datang ke Baitul Maqdis dan mencari jalan perdamaian. Kehadiran Presiden Sadat ke Baitul Maqdis yang dikuasai Israel adalah satu isyarat pengiktirafan ke atas negara haram Israel. Perdana Menteri Israel, Menachem Begin telah mengambil peluang ini untuk memalukan Sadat dengan menyebut di dalam ucapannya mengalu-alukan kedatangan Sadat ke Baitul Makdis, ibu negara Israel ’yang abadi’. Ucapan ini adalah merupakan satu tamparan kepada perjuangan pembebasan Masjid al-Aqsa dan bumi Palestin. Ia adalah sesuatu yang mencalar maruah dunia Islam seluruhnya. Hasil dari rundingan diplomatik di antara Mesir dan Israel yang di’broker’ oleh AS akhirnya membuahkan Perjanjian Camp David pada tahun 1978. Perjanjian ini telah mengeluarkan Mesir dari persamaan (equation) yang menentukan hala tuju konflik di Timur Tengah khususnya yang berkaitan dengan pembebasan Bumi Palestin. Sehingga hari ini Mesir adalah terikat dengan perjanjian untuk tidak menjejaskan keselamatan Israel. Tindakan Mesir pada hari ini yang menutup sempadan di Rafah dan tidak membenarkan bantuan menyeberang ke Gaza yang dikepung Israel, bahkan menghalang rakyat Gaza masuk ke Mesir untuk mendapat rawatan adalah sebahagian dari memenuhi syarat Perjanjian Camp David tersebut.



6 Oktober adalah satu tarikh penting sehingga Mesir dan Syria memilihnya sebagai tarikh untuk menyambut hari kebangsaan kedua negara. Mesir turut memilih 6 Oktober sebagai hari angkatan Tentera Mesir. Pada 6 Oktober 1981, dalam perbarisan tentera sempena ulang tahun perang Oktober, Presiden Sadat mati ditembak kerana tindakannya berdamai dengan Israel dan mengiktiraf entiti haram tersebut dianggap suatu pengkhianatan kepada umat Islam dan agamanya.



Prof Madya Dr Hafidzi Mohd Noor

Pengarah

PACE (Palestine Centre of Excellence)

Kahwin pada Usia Muda

 Perkahwinan merupakan lumrah kehidupan yang akan ditempuh oleh setiap manusia kerana telah ditetapkan semenjak azali lagi. Allah telah menjadikan makhluknya untuk hidup berpasangan-pasangan seperti firman Allah yang bermaksud, “Tiap-tiap sesuatu Kami jadikan berpasang-pasangan (jantan betina), mudah-mudahan kamu menerima peringatan.” (Surah Az-Zariyaat: 49)

Dan lagi firman Allah yang bermaksud, "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." (Surah Ar-Rum: 21)

Persoalannya, adakah berkahwin dalam peringkat usia yang masih muda atau dalam umur belasan tahun, masa yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga? Adakah mereka sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga, suami dan isteri serta sebagai ibu bapa setelah dikurniakan cahaya mata?

Kembali kita telusuri sejarah, pada zaman dahulu berkahwin pada usia yang muda adalah perkara biasa. Namun tuntutan semasa sudah jauh berbeza dengan suasana yang semakin moden dan mencabar. Perkembangan terkini menuntut kumpulan yang ingin berkahwin agar mempunyai ilmu pengetahuan yang mencukupi tentang kekeluargaan serta kedudukan ekonomi yang baik bagi mencapai kehidupan yang lebih selesa dan sempurna.

Kini, dalam usia belasan tahun para remaja sama ada yang masih berada di bangku sekolah atau di peringkat universiti mempunyai tanggungjawab yang lebih utama. Menuntut ilmu demi kesejahteraan hidup pada masa akan datang. Pada peringkat ini, peranan utama yang harus dimainkan dengan bijak dan sempurna adalah memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar, menuntut ilmu sebanyak mungkin untuk bersaing dalam dunia yang semakin global.

Keputusan untuk berkahwin pada usia muda biasanya disebabkan oleh desakan keluarga, ‘menutup keterlanjuran bersama kekasih’ atau takut kehilangan kekasih sekiranya mengambil keputusan untuk berkahwin lewat. Hakikatnya, alam ruamhtangga bukanlah satu alam yang boleh dianggap mudah atau ‘kacang’ oleh semua pihak. Banyak pancaroba yang harus ditempuhi bersama apabila mengambil keputusan untuk hidup sebagai sebuah keluarga.

Apa yang lebih penting adalah persiapan dan persedian untuk menempuh alam rumah tangga. Perkahwinan bukanlah ikatan sekadar untuk sehari dua tetapi akan berkekalan sehingga ke anak cucu . Biarpun usia bukan kayu pengukur untuk mendirikan rumahtangga tetapi persediaan dari aspek fizikal, kematangan emosi, kemantapan ilmu kekeluargaan dan agama serta sumber kewangan yang stabil adalah jaminan keharmonian sesebuah kekeluarga.

Tidak salah berkahwin pada peringkat usia muda jika keputusan itu diambil untuk mengelakkan diri terjerumus ke lembah maksiat. Namun, ia seharusnya berlandaskan keupayaan pasangan untuk berfikir secara tenang dan rasional dalam membuat sebarang keputusan. Tidak ada gunanya jika berkahwin sekadar memenuhi runtunan nafsu syahwat sahaja, dua tiga tahun selepas itu berakhir dengan perceraian yang ternyata membawa keruagian kepada kedua-dua pihak.

Adalah lebih baik, pasangan remaja yang ingin berkahwin memperlengkapkan diri sebaik mungkin dengan ilmu tentang rumahtangga. Bermula dari soal menguruskan ruamhtangga, soal masak-memasak hinggalah kepada penyediaan belanjawan keluarga yang efektif. Sekiranya sudah benar-benar bersedia, laksanakanlah tuntutan perkahwinan ini dengan sebaik-baiknya.

Peliharalah amanah yang dikurniakan Allah dengan sempurna demi mendapat rahmat di dunia dan akhirat.

oleh;umar khalil,apium.

Wednesday, September 9, 2009

kami mengucapkan

selamat hari raya maaf zahir batin dari kami team corrum85;


 
Design By iEn © 2008 - 2010 | Best Resolution: 1024x768 Pixels | Best View With Firefox | Back To Top