Friday, October 9, 2009

Kahwin pada Usia Muda

 Perkahwinan merupakan lumrah kehidupan yang akan ditempuh oleh setiap manusia kerana telah ditetapkan semenjak azali lagi. Allah telah menjadikan makhluknya untuk hidup berpasangan-pasangan seperti firman Allah yang bermaksud, “Tiap-tiap sesuatu Kami jadikan berpasang-pasangan (jantan betina), mudah-mudahan kamu menerima peringatan.” (Surah Az-Zariyaat: 49)

Dan lagi firman Allah yang bermaksud, "Dan di antara tanda-tanda kekuasaan Allah ialah menciptakan untukmu isteri-isteri daripada jenismu sendiri supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya dan dijadikan diantaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir." (Surah Ar-Rum: 21)

Persoalannya, adakah berkahwin dalam peringkat usia yang masih muda atau dalam umur belasan tahun, masa yang sesuai untuk mendirikan rumah tangga? Adakah mereka sudah bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang ketua keluarga, suami dan isteri serta sebagai ibu bapa setelah dikurniakan cahaya mata?

Kembali kita telusuri sejarah, pada zaman dahulu berkahwin pada usia yang muda adalah perkara biasa. Namun tuntutan semasa sudah jauh berbeza dengan suasana yang semakin moden dan mencabar. Perkembangan terkini menuntut kumpulan yang ingin berkahwin agar mempunyai ilmu pengetahuan yang mencukupi tentang kekeluargaan serta kedudukan ekonomi yang baik bagi mencapai kehidupan yang lebih selesa dan sempurna.

Kini, dalam usia belasan tahun para remaja sama ada yang masih berada di bangku sekolah atau di peringkat universiti mempunyai tanggungjawab yang lebih utama. Menuntut ilmu demi kesejahteraan hidup pada masa akan datang. Pada peringkat ini, peranan utama yang harus dimainkan dengan bijak dan sempurna adalah memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar, menuntut ilmu sebanyak mungkin untuk bersaing dalam dunia yang semakin global.

Keputusan untuk berkahwin pada usia muda biasanya disebabkan oleh desakan keluarga, ‘menutup keterlanjuran bersama kekasih’ atau takut kehilangan kekasih sekiranya mengambil keputusan untuk berkahwin lewat. Hakikatnya, alam ruamhtangga bukanlah satu alam yang boleh dianggap mudah atau ‘kacang’ oleh semua pihak. Banyak pancaroba yang harus ditempuhi bersama apabila mengambil keputusan untuk hidup sebagai sebuah keluarga.

Apa yang lebih penting adalah persiapan dan persedian untuk menempuh alam rumah tangga. Perkahwinan bukanlah ikatan sekadar untuk sehari dua tetapi akan berkekalan sehingga ke anak cucu . Biarpun usia bukan kayu pengukur untuk mendirikan rumahtangga tetapi persediaan dari aspek fizikal, kematangan emosi, kemantapan ilmu kekeluargaan dan agama serta sumber kewangan yang stabil adalah jaminan keharmonian sesebuah kekeluarga.

Tidak salah berkahwin pada peringkat usia muda jika keputusan itu diambil untuk mengelakkan diri terjerumus ke lembah maksiat. Namun, ia seharusnya berlandaskan keupayaan pasangan untuk berfikir secara tenang dan rasional dalam membuat sebarang keputusan. Tidak ada gunanya jika berkahwin sekadar memenuhi runtunan nafsu syahwat sahaja, dua tiga tahun selepas itu berakhir dengan perceraian yang ternyata membawa keruagian kepada kedua-dua pihak.

Adalah lebih baik, pasangan remaja yang ingin berkahwin memperlengkapkan diri sebaik mungkin dengan ilmu tentang rumahtangga. Bermula dari soal menguruskan ruamhtangga, soal masak-memasak hinggalah kepada penyediaan belanjawan keluarga yang efektif. Sekiranya sudah benar-benar bersedia, laksanakanlah tuntutan perkahwinan ini dengan sebaik-baiknya.

Peliharalah amanah yang dikurniakan Allah dengan sempurna demi mendapat rahmat di dunia dan akhirat.

oleh;umar khalil,apium.

0 comments:

Post a Comment

 
Design By iEn © 2008 - 2010 | Best Resolution: 1024x768 Pixels | Best View With Firefox | Back To Top